Jump to Content

Selamat Datang Ibu Bapa!

Kepercayaan anda adalah keutamaan kami, dan membenarkan anak anda memiliki Akaun Google merupakan satu keputusan yang tidak mudah dibuat. Luangkan sedikit masa untuk menyemak maklumat penting ini untuk mengetahui butiran lebih lanjut.

Alatan untuk Ibu Bapa

Akaun Google anak anda sama seperti akaun anda sendiri dan menawarkan akses kepada pelbagai produk serta perkhidmatan Google, termasuk perkhidmatan yang tidak direka bentuk atau disesuaikan untuk kanak-kanak. Anak anda mungkin dapat menggunakan akaun mereka untuk melakukan perkara seperti:

  • Tanya soalan, akses dan cari di Internet menggunakan Google Assistant, Chrome dan Carian;
  • Berkomunikasi dengan orang lain menggunakan Gmail, SMS, video, suara dan kaedah komunikasi lain;
  • Muat turun, beli dan nikmati apl, permainan, muzik, filem dan banyak lagi;
  • Buat, lihat dan kongsi foto, video, pembentangan, dokumen dan kandungan lain;
  • Jejaki maklumat kesihatan dan kecergasan termasuk tahap aktiviti dan kadar denyut jantung dalam Google Fit (bergantung pada peranti anak anda); dan
  • Lihat iklan berkonteks semasa menggunakan perkhidmatan Google.

Hormati orang lain

Kebanyakan perkhidmatan kami membolehkan anak anda berinteraksi dengan orang lain yang menggunakan perkhidmatan kami. Kami mahu mengekalkan persekitaran hormat-menghormati untuk semua orang. Ini bermakna anak anda mesti mematuhi peraturan tingkah laku asas, seperti tidak mendera atau membahayakan orang lain atau diri mereka sendiri (atau mengancam atau menggalakkan penderaan atau bahaya sedemikian) — contohnya, dengan memperdaya, menipu, memfitnah, membuli, mengganggu, mengugut orang lain secara berterusan atau dengan mengedarkan kandungan berunsur kebencian (seperti kandungan yang menimbulkan kebencian atau diskriminasi berdasarkan asal usul, bangsa, agama, jantina, orientasi seksual seseorang, dsb.) secara terbuka semasa menggunakan perkhidmatan kami. Penerbitan kandungan berunsur kebencian mungkin mendedahkan anda dan anak anda kepada liabiliti sivil atau jenayah.

Privasi anak anda

Untuk membolehkan anak anda memiliki Akaun Google, kami memerlukan kebenaran anda untuk mengumpulkan, menggunakan atau mendedahkan maklumat anak anda seperti yang diterangkan dalam Notis Privasi ini dan Dasar Privasi Google. Apabila anda membenarkan anak anda menggunakan perkhidmatan kami, anda dan anak anda mengamanahkan maklumat anda kepada kami. Kami faham bahawa ini merupakan tanggungjawab yang besar dan kami berusaha bersungguh-sungguh untuk melindungi maklumat anda serta meletakkan kawalan di tangan anda. Anda boleh memilih sama ada anak anda boleh mengurus kawalan aktiviti mereka untuk perkara seperti Aktiviti Web & Apl dan Sejarah YouTube.

Notis Privasi untuk Akaun Google dan Profil yang Diurus dengan Family Link, untuk Kanak-kanak berumur bawah 13 tahun (atau umur yang berkenaan di negara anda) dan Dasar Privasi Google menjelaskan amalan privasi Google. Sekiranya terdapat amalan privasi yang khusus untuk akaun atau profil anak anda, misalnya berhubung pengehadan pada pengiklanan diperibadikan, perbezaan tersebut digariskan dalam Notis Privasi ini.

Notis Privasi ini tidak terpakai pada amalan mana-mana apl, tindakan atau tapak web pihak ketiga (bukan Google) yang mungkin anak anda gunakan. Anda harus menyemak syarat dan dasar yang berkenaan untuk apl, tindakan dan tapak pihak ketiga bagi menentukan kesesuaiannya untuk anak anda, termasuk amalan pengumpulan dan penggunaan data mereka.

Maklumat yang Kami Kumpul

Apabila anda memberikan kebenaran untuk anak anda memiliki Akaun Google atau profil, secara amnya, akaun atau profil mereka akan dikendalikan seperti akaun anda berkaitan dengan maklumat yang kami kumpulkan. Sebagai contoh, kami mengumpulkan:

Maklumat yang anda dan anak anda buat atau beri kepada kami.
Sebagai sebahagian daripada proses membuat akaun atau profil, kami mungkin meminta maklumat peribadi seperti nama pertama dan nama keluarga, alamat e-mel dan tarikh lahir. Kami mengumpulkan maklumat yang anda atau anak anda berikan, seperti butiran hubungan dalam talian anda, yang kami perlukan apabila mahu menghubungi anda untuk meminta persetujuan. Kami juga mengumpulkan maklumat yang dibuat, dimuat naik atau diterima oleh anak anda daripada orang lain semasa menggunakan akaun atau profil mereka, seperti apabila anak anda menyimpan gambar dalam Google Photos atau membuat dokumen dalam Google Drive.

Maklumat yang kami peroleh daripada penggunaan perkhidmatan kami oleh anak anda.
Kami mengumpulkan dan menyimpan maklumat tertentu secara automatik tentang perkhidmatan yang digunakan oleh anak anda dan cara anak anda menggunakan perkhidmatan tersebut, seperti apabila anak anda memasukkan pertanyaan dalam Carian Google, bercakap kepada Google Assistant atau menonton video melalui YouTube Kids. Maklumat ini termasuk:

  • Apl, penyemak imbas & peranti anak anda
    Kami mengumpulkan maklumat tentang apl, penyemak imbas dan peranti yang digunakan oleh anak anda untuk mengakses perkhidmatan Google, termasuk pengecam unik, jenis dan tetapan penyemak imbas, jenis dan tetapan peranti, sistem pengendalian, maklumat rangkaian mudah alih, termasuk nama dan nombor telefon pembawa serta nombor versi aplikasi. Kami juga mengumpulkan maklumat tentang interaksi apl, penyemak imbas dan peranti anak anda dengan perkhidmatan kami, termasuk alamat IP, laporan ranap sistem, aktiviti sistem, tarikh, masa dan URL perujuk dalam permintaan anak anda. Contohnya, kami mengumpulkan maklumat ini apabila perkhidmatan Google pada peranti anak anda menghubungi pelayan kami, seperti apabila mereka memasang apl daripada Gedung Play.
  • Aktiviti anak anda
    Kami mengumpulkan maklumat tentang aktiviti anak anda dalam perkhidmatan kami, yang kami gunakan untuk melakukan perkara seperti mengesyorkan apl yang mungkin disukai oleh mereka di Google Play. Anda boleh memilih sama ada anak anda boleh mengurus kawalan aktiviti mereka ataupun tidak. Maklumat aktiviti anak anda yang kami kumpulkan mungkin termasuk perkara seperti istilah carian, video yang mereka tontoni, maklumat suara dan audio apabila mereka menggunakan ciri audio, orang yang mereka berkomunikasi atau berkongsi kandungan dan sejarah penyemakan imbas Chrome yang telah mereka segerakkan dengan Akaun Google mereka. Jika anak anda menggunakan perkhidmatan kami untuk membuat dan menerima panggilan atau menghantar dan menerima mesej, contohnya dengan menggunakan Google Meet atau Duo, kami mungkin mengumpulkan maklumat log telefoni. Anak anda boleh melawati Akaun Google mereka untuk mendapatkan dan mengurus maklumat aktiviti yang disimpan dalam akaun atau profil mereka dan anda juga boleh membantu mereka mengurus maklumat aktiviti mereka dengan log masuk ke Akaun Google anak anda atau mengakses profil mereka dalam Family Link.
  • Maklumat lokasi anak anda
    Kami mengumpulkan maklumat tentang lokasi anak anda apabila mereka menggunakan perkhidmatan kami. Lokasi anak anda boleh ditentukan dengan menggunakan GPS, alamat IP, data penderia daripada peranti mereka dan maklumat tentang perkara yang berdekatan dengan peranti mereka, seperti titik akses Wi-Fi, menara selular dan peranti yang mendayakan Bluetooth. Jenis data lokasi yang kami kumpulkan bergantung sebahagiannya pada tetapan anda dan peranti anak anda.
  • Maklumat suara & audio anak anda
    Kami mungkin mengumpulkan maklumat suara dan audio anak anda. Contohnya, jika anak anda menggunakan perintah pengaktifan audio (mis., “OK, Google” atau menyentuh ikon mikrofon), rakaman pertuturan/audio berikut, serta beberapa saat sebelum itu, mungkin disimpan pada akaun mereka daripada mana-mana peranti yang telah dilog masuk anak anda, apabila tetapan Aktiviti Web & Apl didayakan.

Kami menggunakan pelbagai teknologi untuk mengumpulkan dan menyimpan maklumat anak anda, termasuk kuki, teg piksel, storan setempat, seperti storan web penyemak imbas atau cache data aplikasi, pangkalan data dan log pelayan. Kami tidak memerlukan anak anda memberikan lebih banyak maklumat peribadi daripada yang sewajarnya untuk menggunakan produk dan perkhidmatan Google yang tersedia untuk akaun atau profil ini.

Cara Kami Menggunakan Maklumat yang Kami Kumpul

Dasar Privasi Google menjelaskan dengan lebih terperinci cara kami mungkin menggunakan data yang dikumpulkan oleh Google berkaitan dengan Akaun Google atau profil anak anda. Pada umumnya, kami menggunakan maklumat anak anda untuk menyediakan, menyenggara dan memperbaik perkhidmatan kami; untuk membangunkan perkhidmatan baharu; untuk menyesuaikan perkhidmatan kami untuk anak anda; untuk mengukur prestasi dan memahami cara perkhidmatan kami digunakan; untuk berkomunikasi secara langsung dengan anak anda berkenaan perkhidmatan kami; dan untuk membantu kami meningkatkan keselamatan serta keandalan perkhidmatan kami.

Kami menggunakan pelbagai teknologi untuk memproses maklumat anak anda bagi tujuan ini. Kami menggunakan sistem automatik yang menganalisis kandungan anak anda untuk menyediakan ciri-ciri seperti hasil carian tersuai atau ciri lain yang disesuaikan dengan cara mereka menggunakan perkhidmatan kami. Kami juga menganalisis kandungan anak anda untuk membantu kami mengesan penyalahgunaan seperti spam, perisian hasad dan kandungan yang menyalahi undang-undang. Kami juga menggunakan algoritma untuk mengenal pasti pola dalam data. Apabila spam, perisian hasad, kandungan haram dan beberapa bentuk penyalahgunaan lain dikesan pada sistem kami dan mencabuli dasar Google, kami mungkin akan melumpuhkan akaun atau profil mereka atau mengambil tindakan lain yang sesuai. Dalam keadaan tertentu, kami juga mungkin melaporkan pelanggaran tersebut kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

Kami boleh menggunakan maklumat anak anda untuk memberikan cadangan, kandungan diperibadikan dan hasil carian tersuai. Misalnya, bergantung pada tetapan anak anda, Google Play boleh menggunakan maklumat seperti apl yang telah dipasang oleh anak anda untuk mencadangkan apl baharu yang mungkin disukai oleh mereka.

Di samping itu, kami boleh menggabungkan maklumat yang kami kumpulkan dalam rangkaian perkhidmatan kami dan pada semua peranti anak anda untuk tujuan yang diterangkan di atas. Bergantung pada tetapan akaun atau profil anak anda, aktiviti mereka di tapak dan apl lain mungkin dikaitkan dengan maklumat peribadi mereka untuk meningkatkan perkhidmatan Google.

Google tidak akan menyiarkan iklan diperibadikan kepada anak anda, yang bermakna iklan tidak akan berdasarkan maklumat daripada akaun atau profil anak anda. Sebaliknya, iklan mungkin berdasarkan maklumat seperti kandungan tapak web atau apl yang anak anda lihat, pertanyaan carian semasa atau lokasi umum (seperti bandar atau negeri). Apabila menyemak imbas web atau menggunakan apl bukan Google, anak anda mungkin menemukan iklan yang disiarkan oleh penyedia iklan lain (bukan Google), termasuklah iklan yang diperibadikan oleh pihak ketiga.

Maklumat yang Boleh Dikongsi oleh Anak Anda

Anak anda mungkin dapat berkongsi maklumat, termasuk foto, video, audio dan lokasi, secara terbuka serta dengan orang lain, apabila mereka log masuk dengan Akaun Google atau profil mereka. Apabila anak anda berkongsi maklumat secara terbuka, maklumat itu boleh diakses melalui enjin carian seperti Carian Google.

Maklumat yang Dikongsi oleh Google

Maklumat yang kami kumpulkan boleh dikongsi di luar Google dalam keadaan terhad. Kami tidak berkongsi maklumat peribadi dengan syarikat, organisasi dan individu di luar Google kecuali dalam keadaan berikut:

Dengan persetujuan
Kami akan berkongsi maklumat peribadi di luar Google dengan persetujuan (mengikut kesesuaian).

Dengan kumpulan keluarga anda
Maklumat anak anda, termasuk nama, foto, alamat e-mel dan pembelian Play mereka, boleh dikongsi dengan ahli kumpulan keluarga anda di Google.

Untuk pemprosesan luar
Kami memberikan maklumat peribadi kepada ahli gabungan kami atau perniagaan atau orang yang dipercayai untuk memproses maklumat ini untuk kami, berdasarkan arahan kami dan mematuhi Notis Privasi ini Dasar Privasi Google, dan sebarang langkah kerahsiaan dan keselamatan lain yang bersesuaian.

Untuk tujuan perundangan
Kami akan berkongsi maklumat peribadi dengan syarikat, organisasi atau individu di luar Google jika kami mempercayai sepenuh hati bahawa akses, penggunaan, pemeliharaan atau pendedahan maklumat tersebut adalah wajar untuk:

  • mematuhi sebarang undang-undang yang bersesuaian, proses undang-undang atau permintaan kerajaan;
  • menguatkuasakan Syarat Perkhidmatan yang bersesuaian, termasuk penyiasatan penyalahgunaan yang berkemungkinan.
  • mengesan, menghalang atau mengendalikan isu penipuan, keselamatan atau teknikal; atau
  • melindungi daripada memudaratkan hak, harta atau keselamatan Google, pengguna kami atau orang awam seperti yang dikehendaki atau dibenarkan oleh undang-undang.

Kami juga mungkin berkongsi maklumat yang tidak dapat dikenal pasti secara peribadi (seperti arah aliran berkaitan penggunaan umum perkhidmatan kami) secara terbuka dan dengan rakan kongsi kami — seperti penerbit, pengiklan, pembangun atau pemegang hak. Misalnya, kami berkongsi maklumat secara terbuka untuk menunjukkan arah aliran berkaitan penggunaan am perkhidmatan kami. Kami juga membenarkan rakan kongsi tertentu mengumpulkan maklumat daripada penyemak imbas atau peranti untuk tujuan pengiklanan dan pengukuran menggunakan kuki mereka sendiri atau teknologi yang serupa.

Akses kepada Maklumat Peribadi Anak Anda

Jika anak anda mempunyai Akaun Google, anda boleh mengakses, mengemas kini, mengalih keluar dan mengehadkan pemprosesan maklumat anak anda dengan log masuk ke Akaun Google mereka. Jika anda tidak ingat kata laluan anak anda, anda boleh menetapkan semula kata laluan melalui apl Family Link atau tetapan Family Link pada web. Selepas anda log masuk, anda boleh menggunakan pelbagai kawalan yang diterangkan dalam Dasar Privasi Google, seperti kawalan aktiviti Google, untuk mengurus tetapan privasi dan maklumat anak anda.

Jika anak anda mempunyai profil, anda boleh mengakses, mengemas kini, mengalih keluar, mengeksport dan mengehadkan pemprosesan maklumat anak anda melalui apl Family Link atau tetapan Family Link pada web.

Anak anda akan berupaya untuk memadamkan aktiviti mereka yang lalu dalam "Aktiviti Saya" dan memberikan kebenaran apl (termasuk perkara seperti lokasi peranti, mikrofon atau kenalan) kepada pihak ketiga secara lalai. Anda juga boleh menggunakan Family Link untuk mengedit atau mengubah suai maklumat Akaun Google atau profil anak anda, menyemak aktiviti apl dan kebenaran apl, serta mengurus keupayaan anak anda untuk memberikan kebenaran tertentu kepada apl atau perkhidmatan pihak ketiga untuk mengakses maklumat anak anda.

Jika anda mahu menghentikan pengumpulan atau penggunaan lanjut maklumat anak anda pada bila-bila masa, anda boleh memadamkan Akaun Google atau profil anak anda dengan mengklik “Padamkan akaun” atau "Padamkan profil" pada halaman Maklumat Akaun atau Profil anak anda dalam apl Family Link atau tetapan Family Link pada web. Maklumat akaun atau profil anak anda akan dipadamkan secara kekal dalam tempoh masa yang munasabah.

Hubungi Kami

Jika anda mempunyai sebarang soalan tentang Akaun Google atau profil anak anda, jangan teragak-agak untuk menghubungi kami. Kami bersedia membantu anda. Anda boleh menemukan maklumat tambahan tentang Family Link dan Akaun Google atau profil anak anda di pusat bantuan kami. Anda juga boleh menghantar maklum balas tentang Family Link atau Akaun Google atau profil anak anda dalam apl Family Link dengan mengetik Menu ☰ > Bantuan & Maklum Balas > Hantar maklum balas, atau dengan menghubungi kami melalui e-mel atau di alamat di bawah.

Google
1600 Amphitheatre Parkway
Mountain View, CA 94043 USA
Phone: +1 855 696 1131 (USA)
Untuk negara lain, lawati g.co/FamilyLink/Contact

Jika anda ingin mengemukakan soalan tentang cara Google mengumpulkan dan menggunakan data anak anda, anda boleh menghubungi Google dan pejabat perlindungan data kami. Anda juga boleh menghubungi pihak berkuasa perlindungan data tempatan anda jika anda mempunyai kebimbangan tentang hak anda menurut undang-undang tempatan.

Lihat Pendedahan Family Link untuk Kanak-kanak yang berumur bawah 13 tahun (atau umur yang berkenaan di negara anda)